Dakwah fardiyah (individu) yang juga merupakan intipati dakwah yang terpenting. Apapun dakwah fardiyah memerlukan kepada kekuatan, sokongan, semangat, iltizam dan istiqomah untuk menjayakannya. Dan penggerak utama dakwah individu adalah golongan pemuda pemudi Islam.
Golongan generasi pewaris agama ini sepatutnya dididik dan dipelihara sebaik mungkin demi aset Islam yang bernilai dalam menjaga syariat Islam sepanjang zaman. Generasi muda amat berperanan menegakkan syariat Islam dan memelihara keutuhan ummah dalam mengharungi liku-liku cabaran dunia. Antara peranan-peranan tersebut adalah:
Peranan membentuk karekter Muslim yang sejati
Golongan muda mudah terdedah dengan kemewahan dan kelazatan hidangan dunia sehingga leka dan asyik dengan kehidupan yang beransur jauh dari landasan Islam yang sebenar. Sikap tidak mahu berubah, degil dan suka berfoya-foya menjadikan golongan muda semakin lemah dalam cara berfikir dan bertindak melulu.
Pengaruh hedonisme yang melampau menyebabkan mereka lupa akan hakikat kejadian manusia yang menuntut pengabdian terhadap Allah. Seolah-olah kesenangan dan kenikmatan dunia adalah kemuncak kejayaan akhir hidup di dunia.
" Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. " (Az-Zariyaat:51)
Remaja sebagai teras golongan muda perlulah berperanan mengawal gelodak nafsu agar tidak gelojoh mengejar kepuasan dunia. Mereka rata-rata hidup dalam angan-angan dan mencipta sebuah ketenangan yang palsu bersama hiburan melampau dan budaya kebebasan hidup tanpa sempadan.
" Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir? " (Al-An’am:32)
Tambahan pula, rata-rata anak muda kita masih lagi sukar mengenal beza antara adat dan ibadah. Mereka keliru malah tidak tahu apa yang perlu diletakkan sebagai karekter diri, anak melayu atau anak muslim.
Sebagai remaja, peranan yang cukup besar adalah melalui perubahan dalam diri sebagai satu ejen perubahan yang akan meneruskan perjuangan dakwah pada platform dunia yang penuh pancaroba ini. Dan membentuk karekter Muslim, satu kewajipan yang amat perlu dan utama.
Persiapan dalam menyediakan fikrah islami yang mantap
Teori dan falsafah barat hampir berjaya mendominasi keseluruhan budaya berfikir kalangan golongan muda. Remaja kini dihidangkan dengan konsep kapitalisme, demokrasi dan kebebasan hak asasi manusia acuan kafir.
Sebagai pewaris Islam kelak, seharusnya golongan muda lebih berwaspada dengan jarum pemikiran kuffar yang meletak agama sekadar kepercayaan semata-mata dan hidup berlandaskan hawa nafsu. Sedangkan Islam sebuah keyakinan terhadap Konsep Tauhid yang Agung dan membawa satu cara hidup yang terbaik sejajar dengan keperluan fitrah manusia sendiri.
Usaha serangan pemikiran (ghozwul fikr) yang tersebar luas telahpun diberi amaran dalam firman Allah yang menerangkan tujuan utama serangan pemikiran ini.
" Mereka ingin supaya kamu menjadi kafir sebagaimana mereka telah menjadi kafir, lalu kamu menjadi sama (dengan mereka) " (Surah An-Nisa’:89).
Kehidupan yang di bawa oleh Islam cuba dihapuskan oleh golongan Kuffar dengan membawa mesej agama menjadi kemunduran umat manusia. Sedangkan Islam lah yang mendidik manusia supaya proaktif mencipta kemajuan seiring dengan kemantapan kuntum-kuntum akhlak dan kemantapan iman.
Modenisasi dilaung-laungkan kini menjadi budaya pemikiran remaja melalui trend berpakaian, cara bersosial, teknologi canggih yang membenih sifat kemalasan dan gaya berfikir, secara halus cuba meranapkan kehidupan Islam yang sebenar.
Sikap cintakan Ilmu dan pusat Intelektualan
Anak muda sepatutnya menanam semangat cintakan ilmu. Kesanggupan meraih selembar ilmu membina sifat cintakan ilmu dan ikhlas dalam pembudayaan ilmu. Mana mungkin anak muda yang mahu berjuang di landasan dakwah kurang ilmu dan jumud pemikirannya. Kekurangan ilmu mudah menjadi alasan anak muda untuk turun berdakwah apatah lagi merealisasikan amal makruf nahi mungkar walaupun terhadap diri sendiri.
Kerana lapangan dakwah didepani dengan masyarakat yang kurang berilmu, suka berdebat, variasi corak berfikir dan sikap tidak endah. Sebab itu, keperluan ilmu amat perlu sebagai bekalan, umpan dan senjata bagi setiap anak muda sebagai perkakas dakwah selain membawa karekter orang yang berilmu. Apatah lagi, ilmu yang ada mampu menangkis dakyah dan serangan pemikiran golongan kuffar.
Keikhlasan dan kesungguhan dalam menuntut ilmu berupaya memberi nilai tambahan kepada anak muda untuk menjernihkan kekotoran sistem politik, ekonomi, pendidikan, sosial dan kefahaman dalam agama yang selama ini dicanang halus oleh tangan-tangan ejen-ejen sekular dan liberal.
Membina kekentalan jiwa dengan menjauhi sikap malas dan putus asa
Jiwa yang terdidik dengan Islam akan sentiasa sabar dan tabah walau sehebat mana badai melanda dalam lautan perjuangan. Dunia Islam masih ketandusan anak muda yang tidak mengenal erti putus asa demi membina keutuhan karekter muslim sendiri seterusnya menyampaikan dakwah kepada masyarakat menerusi penampilan akhlak muslim, cara bersosial yang islamik dan semangat cintakan Islam. Malas untuk berjuang dan rela melihat kemungkaran menjadi satu sebab kenapa remaja kita semakin hanyut dalam arus dunia.
Tiada lagi sahabat yang baik dan soleh sebagai pilihan untuk menjadi teman. Menegur bila tersilap dalam percaturan kehidupan, sebagai penyokong untuk segala anjakan kebaikan. Peranan perjuang muda islam adalah sanggup menjadi sahabat dan teman kepada kawan-kawan lain. Buanglah sikap skeptikal dalam memilih sahabat. Kerana mana tahu, mereka adalah golongan sasaran dakwah kita yang hampir.
Setiap individu haruslah memainkan peranan yang penting sesuai dengan keupayaan masing-masing dalam membawa kembali kegemilangan Islam. Perubahan yang direncanakan haruslah didasari dengan syariah agar matlamat dan cara seiring halal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan