Isnin, 5 Julai 2010

Epilog 5 - Pusingan Hidup

Alhamdulillah, genap umur ku setapak lagi dalam meniti ruang-ruang kedewasaan. Namun, aku masih buntu, apakah ada kekuatan untuk berubah, seiring dengan peningkatan umur. Apakah perasaan ini dapat dimengertikan sebagai azam, atau sekadar angan-angan. Bak kata orang, dah tua tu, buatlah perangai macam orang tua. Hurmm.... bolehkah aku?

Semalam yang ku tinggalkan tidak lain hanya diselubungi dengan kekelaman, debu dan noda. Dek kerana kelemahan diri, demi mengejar sebuah kepuasan yang fana dan palsu. Hanya kekadang secalit sinar seakan menyuluh jalan-jalan semalam. Membuatkan semalam tidak lebih melainkan sebuah pendidikan buat aku untuk menempuh hari esok.

Lebih setahun aku meninggalkan campus life, yang amat banyak kenangan buat aku, mungkin juga buat dirinya, atau memori indah kita bersama, atau diri mu. Segala rasa pahit, suka, keliru dan puas dengan detik-detik itu akan sentiasa di benak memori ini. Tiada tarikh luput. Sebagai panduan dan kenyataan. Moga hati lapang menerima Takdir.

Apakah esok, semalam atau saat ini, aku tetap aku. Masih sama seperti dulu. Jasad dan roh yang sama. Bersepadu dan bernyawa. Mengejar kepuasan duniawi. Cara berpakaian dan karekter peribadi yang serupa. Demi tuntutan dunia. Entah. Berubah perlukan pengorbanan. Tapi sampai bila harus begini. Selamanya begini, hidup dalam kelam dan tak keruan.

Ya, aku kena berubah. Biar esok aku bukan aku yang sekarang. Selagi jasad dan roh terus bersepadu, aku perlu berubah, menjadi diri yang lebih baik. Baik dari segi cara hidup, cara bercakap, cara bergaul, cara berfikir dan segala cara untuk hidup. Harap-harap, ini sebuah azam yang mesti direalisasikan dan bukan sekadar angan-angan untuk dibawa kedalam mimpi. Doakan aku.

Aku nekad. Memilih Islam sebagai cara hidup. Aku juga nekad, bahawa setiap bicara harus dibuktikan dengan perbuatan. Juga aku akan nekad, akan senantiasa istiqamah dalam perubahan ini, walaupun aku tahu, ranjaunya bukan calang-calang, ia memerlukan pengorbanan, dan kekuatan yang tidak lain, hanya daripada Tuhan sang Pencipta tempat untuk mengadu kasih, dan membulat segala kecintaan.

Di sini, hati mula berbisik. Aku mesti berubah. Dan aku akan pastikan bahawa esok, aku adalah bukan aku yang sekarang. Demi sebuah cinta, demi sebuah rindu, demi Mu wahai Tuhan ku.

Selamat Menyambut Ulang Tahun Kelahiran buat mereka yang juga lahir pada tanggal 6 Julai. Semoga panjang umur dan dimuliakan sepanjang kehidupan dunia dan akhirat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan